TIGA penyokong Selangor FC didenda RM3,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki suar tanpa lesen yang sah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Hafiz Azim Abdul Halim, 25, Muhammad Haiqal Jemerizan, 22, dan Mohd Amrin Abdul Halim, 29, didakwa melakukan kesalahan itu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu antara pukul 8.45 malam hingga 9.30 malam pada 1 Februari lalu, dengan memiliki suar berwarna merah tanpa lesen yang sah.
Majistret Nor Mazrinie Mahmood menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap setiap tertuduh atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan, lapor Buletin TV3.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, lima lagi penyokong Selangor FC turut didenda antara RM2,800 hingga RM3,200 dan berdepan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda atas kesalahan memiliki suar.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Muhammad Aliff Aiman Norazman, 23, Syafiq Waliuddin Mohd Anuar, 25, Hamizan Zafri Ahmad Fauzansah, 25, Muhammad Ashraff Azhar Mohd Radzi, 23, dan Noor Akmal Danish Noor Azli, 26.
Kesemua lapan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) kerana memiliki suar tanpa lesen yang sah, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan perkataan kurang sopan terhadap seorang penjawat awam.
Tertuduh, AlFadli Awaludin, 44, ditawarkan jaminan sebanyak RM1,000 dan mahkamah menetapkan 5 Mac depan bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.


