Tipu bayaran discaj hospital, wanita didenda RM3,500

SEORANG penganggur didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini selepas mengaku bersalah memperdaya seorang lelaki warga asing supaya menyerahkan wang RM700 kononnya bagi proses discaj di Hospital Sultanah Aminah (HSA), minggu lalu.

Majistret Nabilah Nizam turut memerintahkan tertuduh, Shahira Abdul Razak, 28, dipenjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, wanita bujang itu didakwa dengan curang memperdaya Gazee Israfil sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM700 kepadanya bagi tujuan proses discaj di hospital berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di kaunter polis bantuan Unit Hasil dan bilik daftar masuk HSA pada 21 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif manakala tertuduh diwakili peguam Heng Wang Qianwei dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Terdahulu, pihak pembelaan memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh tidak bekerja selain menanggung ibu bapa yang uzur serta adiknya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita ditahan kerana meminta wang deposit wad daripada orang awam di hospital berkenaan sehingga tular di media sosial.

Pihak HSA dalam kenyataan memaklumkan siasatan awal mendapati individu terbabit bukan kakitangan hospital tersebut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img