ADUN Kota Siputeh maklumkan Hamzah belum dipecat

PEMECATAN Timbalan Presiden parti Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak diputuskan dalam perjumpaan khas di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur malam ini.

Pengesahan itu dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

DATUK Seri Hamzah Zainudin

“Cakap dekat office (pejabat) boleh balik. Hamzah belum kena buang lagi,” katanya ringkas kepada pemberita yang menunggu di luar kediaman Muhyiddin di Jalan Setiabakti sejak jam 8 malam tadi.

Media malam ini melaporkan, Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan dua Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Radzi Jidin antara yang hadir dalam perjumpaan tersebut.

Bagaimanapun, difahamkan Hamzah tidak menghadiri pertemuan khas malam ini.

Kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara sekali lagi menjadi tumpuan apabila satu perjumpaan khas melibatkan pemimpin parti itu berlangsung malam ini.

Bagaimanapun, petugas media tidak dibenarkan memasuki kawasan kediaman Ahli Parlimen Pagoh itu yang berpagar serta berpengawal.

Mohamed Azmin sebelum ini dilaporkan memaklumkan bahawa satu perjumpaan khas melibatkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dijadualkan berlangsung di kediaman Muhyiddin pada Ahad iaitu malam ini.

Perjumpaan itu diadakan ketika pertelagahan kepimpinan dalam Bersatu dilihat semakin memuncak, khususnya susulan desakan dan ketegangan yang semakin ketara antara kem Presiden parti dan Hamzah.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img