BEKAS Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencabar pucuk pimpinan parti itu memecat pemimpin dan ahli yang masih memberi sokongan terhadapnya.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, tindakan tersebut lebih baik berbanding menggunakan ugutan bagi menyekat kumpulan itu dari terus memberi sokongan kepadanya.
“Kalau yang seeloknya kepada Bersatu, dah macam ini caranya, pecat sahaja mereka ini. Itu yang paling baik.
“Jadi tidak susah wartawan pun tak payah tanya saya lagi. Senang pecat sahaja, apa yang susah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Pembangkang di Putrajaya malam ini.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.
Sebelum ini, Kiandee dan Mas Ermieyati dilapor telah diberikan surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin Bersatu.
Mereka dilihat menyokong Ahli Parlimen Larut itu apabila turut menghadiri Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik sehari selepas pemecatan Hamzah daripada jawatan Timbalan Presiden Bersatu, 13 Februari lalu.


