JABATAN Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) menyita sebuah kenderaan mewah jenis Bentley Continental milik seorang ahli perniagaan wanita dalam Ops Khas Luxury di Jalan Tun Razak, Kuala semalam.
Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam berkata kenderaan yang dipandu warga tempatan itu dikesan melakukan tiga kesalahan utama di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
“LKM dan perlindungan insurans kenderaan mewah tersebut telah tamat tempoh sejak 2018 dan wanita berkenaan memberi alasan terlepas pandang kerana sebelum ini ia diuruskan oleh ahli keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Hamidi berkata statistik menunjukkan sebanyak 849 kenderaan mewah disita di seluruh negara pada 2025 hingga 24 Jan tahun ini dengan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah sitaan tertinggi iaitu sebanyak 168 kenderaan.
Beliau berkata Negeri Sembilan pula mencatatkan 91 kenderaan diikuti Selangor (87), Pulau Pinang (76), Melaka (73), Johor (66), Sarawak (55), Kedah (53), Pahang (47), Kelantan (37), Perak (36), Sabah (31), Terengganu (20) dan Perlis (sembilan).
JPJ WPKL, katanya akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
Orang awam boleh menyalurkan aduan kesalahan lalu lintas melalui e-mel kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan berserta butiran lengkap.


