PGA tumpaskan kegiatan pembalakan haram di Gua Musang

PASUKAN Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan pembalakan haram di Paloh, Gua Musang Ahad lalu , membabitkan rampasan keseluruhan dianggar bernilai RM1.59 juta

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata empat lelaki berusia 32 hingga 48 tahun turut ditahan dalam serbuan Ops Bersepadu Khazanah oleh Risik Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan itu.

“Serbuan pertama dilakukan kira-kira 8.30 malam, 8 Feb di kawasan Ladang Getah Serasa selepas pasukan risik menahan sebuah lori jenis Isuzu yang membawa enam batang kayu balak disyaki jenis meranti tanpa dokumen sah.

“Seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan dalam serbuan ini dengan nilai rampasan termasuk lori dianggar berjumlah RM140,000,” katanya lapor Bernama.

Ahmad Radzi berkata serbuan kedua pula dijalankan kira-kira 10.30 malam pada hari yang sama di kawasan Ladang Serasa selepas pihaknya mengesan sebuah buldozer sedang mengheret kayu balak, diiringi dua lelaki yang membawa mesin gergaji berantai.

“Hasil serbuan, pasukan menahan tiga lelaki berusia antara 32 hingga 46 tahun serta merampas sebuah lori jenis Isuzu, sebuah mesin pengorek, sebuah buldozer, satu mesin gergaji berantai dan tujuh batang kayu balak disyaki meranti dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM1.45 juta,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 dan semua suspek serta barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img