MCMC tumpaskan sindiket fake BTS di Johor, kenderaan dijadikan platform pemancar

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menumpaskan satu lagi aktiviti sindiket pemancaran stesen pangkalan palsu atau fake base transceiver station (fake BTS), kali ini menerusi operasi yang diadakan di Bukit Chagar, Johor Bahru.

Operasi itu diadakan susulan maklumat awam serta pemantauan teknikal dan analisis rangkaian yang mengesan corak pemintasan rangkaian telekomunikasi dan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu kepada pengguna.

Menurut MCMC, dalam operasi bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi, pasukan penguat kuasa telah mengenal pasti seorang individu serta sebuah kenderaan yang digunakan sebagai platform pemancaran fake BTS.

“Pemeriksaan di lokasi mengesahkan penggunaan peranti komunikasi tidak diperakui yang berupaya memintas rangkaian sah dan menghantar SMS palsu secara terus kepada peranti pengguna di sekitarnya.

“Maklumat siasatan turut mendapati individu terlibat direkrut melalui tawaran pekerjaan dengan bayaran harian, taktik sindiket bagi meluaskan operasi tanpa mendedahkan struktur sebenar rangkaian mereka,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

Fake BTS merujuk kepada peranti pemancar palsu untuk memintas sambungan rangkaian dan menghantar mesej palsu seperti penipuan kewangan secara terus ke telefon pengguna.

Menurut MCMC, penemuan itu mengukuhkan kewujudan rangkaian sindiket menyasarkan pengguna di kawasan tumpuan awam, sekali gus meningkatkan risiko penipuan serta mengancam integriti sistem telekomunikasi.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Selain itu di bawah Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntuk denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img