Suri rumah didakwa sebar maklumat palsu harga bahan api

SEORANG suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini, atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berhubung kenaikan harga bahan api melalui media sosial.

Tertuduh, Siti Nor Sayikilla Mohd Azhar, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Fuad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu pada 31 Mac lalu dengan niat mengganggu orang lain menggunakan akaun @cek_apple95 di platform Threads.

Kandungan tersebut dikesan oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azmir Mohd Razali, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Terdahulu, pihak pembelaan memohon jaminan minimum RM500 dengan mengambil kira keadaan peribadi tertuduh yang tidak mempunyai pendapatan tetap serta menanggung dua anak, termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan penjagaan sepenuh masa.

Bagaimanapun, mahkamah menegaskan kesalahan tersebut serius dan tidak boleh dipandang ringan, khususnya membabitkan penyebaran maklumat palsu yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Peruntukan ini diwujudkan supaya orang ramai tidak sewenang-wenangnya membuat kenyataan palsu atau tidak benar. Setiap tindakan ada akibatnya dan perlu difikirkan terlebih dahulu sebelum sesuatu hantaran dibuat.

“Tindakan sebegini, walaupun nampak mudah seperti membuat komen atau hantaran, boleh membawa kesan besar. Sebab itu undang-undang menetapkan hukuman yang tinggi,” katanya.

Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img