Seorang doktor pelatih didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Krai, hari ini, atas dua pertuduhan iaitu gangguan seksual terhadap seorang wanita dan memiliki gambar lucah, September tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Hilmi Zulkeflee, 26, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Amal Razin Alias, lapor Harian Metro.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa hendak mengaibkan kehormatan dengan merakam seorang wanita yang sedang mandi tanpa pengetahuannya dengan menggunakan sebuah kamera berwarna hitam miliknya di bilik mandi, Aras 2, Hospital Sultan Ismail Petra di sini, kira-kira pukul 6.30 pagi, pada 13 September 2025.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan kertas pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa dalam milikannya terdapat beberapa keping gambar dan video lucah yang disimpan di dalam telefon bimbit di bilik 102, Asrama Pelatih Pegawai Perubatan, Hospital Sultan Ismail Petra, kira-kira pukul 1.30 petang, pada 14 September 2025.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Che Mohd Azim Che Hamat.
Terdahulu, Mazlinda mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan, manakala Che Mohd Azim merayu mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu kerana anak guamnya masih muda dan ia adalah kesalahan kali pertama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa.
Mahkamah juga menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


