DALAM satu kes yang menggemparkan di Kemboja, pemandu sebuah kereta dipercayai menanam mayat seorang penunggang motosikal selepas merempuh mangsa dalam satu kemalangan jalan di mangsa maut dirempuh dalam satu kemalangan jalan raya.
Kejadian di Kampung Chrab Krasang, Sangkat Wat Kor, Bandar Battambang itu terbongkar kira-kira pukul 5 pagi semalam apabila orang ramai menemui sebuah kereta terbabas ke dalam sawah padi, kira-kira 40 meter dari lebuh raya. Kereta itu mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
Menurut pihak berkuasa, ketika pegawai tempatan tiba untuk memeriksa kenderaan tersebut, mereka mendapati kereta itu jelas terlibat dalam pelanggaran, namun pada awalnya tidak mengetahui objek yang dilanggar.
Tidak lama kemudian, pihak berkuasa menemui serpihan motosikal berselerakan di sawah padi bersama sebuah beg galas. Berasa curiga, mereka meneruskan pencarian sebelum menemui mayat seorang individu yang ditanam di dalam parit berhampiran.
Hasil pemeriksaan lanjut turut menemukan lebih banyak bahagian motosikal di kawasan hutan berdekatan. Motosikal tersebut dikenal pasti sebagai Honda Dream berwarna hitam.
Berhampiran lubang cetek itu, pihak berkuasa menemui sebuah beg yang mengandungi dokumen pembelian ansuran motosikal, beberapa gelang getah dan barangan lain. Turut ditemui seutas wayar berhampiran motosikal berkenaan.
Pegawai tempatan bersama anggota polis trafik, polis teknikal dan polis siasatan jenayah telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian termasuk mengumpul bukti serta memeriksa mayat mangsa.
Mangsa dikenal pasti melalui dokumen pembelian ansuran motosikal yang disimpan dalam beg tersebut. Pihak berkuasa kemudian menghubungi keluarga mangsa.
Ahli keluarga yang tiba di lokasi memaklumkan mangsa ialah Penh Chanun, lelaki berusia 23 tahun dari Kampung Samrong, Komun Snaun, Daerah Banan.
Sumber memaklumkan mangsa dipercayai dirempuh oleh kereta tersebut sekitar pukul 3 pagi semalam.


