Pengasas BananaBro, Boat Noodle meninggal dunia pada usia 47 tahun

PENGASAS  rangkaian makanan dan minuman (F&B) popular BananaBro dan Boat Noodle, Tony Lim, meninggal dunia pada usia 47 tahun.

Pemergiannya dimaklumkan menerusi ucapan takziah yang dimuat naik di laman Facebook kedua-dua rangkaian restoran itu, hari ini.

BananaBro mengenang Lim sebagai seorang tokoh yang mempunyai wawasan yang memperkenalkan tradisi hidangan nasi daun pisang Malaysia ke persada antarabangsa.

“Tony mempunyai visi untuk memperkenalkan budaya hidangan daun pisang Malaysia kepada dunia. Dengan semangat, sikap pemurah dan yakin terhadap impian itu, beliau merealisasikan penubuhan BananaBro.

“Walaupun beliau tiada lagi bersama kita, impiannya akan terus mekar dalam setiap hidangan yang kami sajikan di atas daun pisang dan setiap insan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanannya,” menurut rangkaian restoran itu.

Sementara itu, Boat Noodle menyifatkan Lim sebagai seorang pemimpi, pejuang dan mentor yang percaya terhadap potensi setiap individu serta kepentingan untuk maju bersama-sama.

Menurut jenama itu, prinsip teras “Together We Grow” bukan sekadar slogan bagi Lim, sebaliknya pegangan hidup yang menjadi amalannya.

“Beliau membina Boat Noodle dengan penuh semangat, keazaman dan keyakinan bahawa walau sesukar mana perjalanan yang ditempuh, kita sentiasa mampu melakukan yang lebih baik, meskipun hanya satu peratus setiap hari.

“Beliau mengajar kami supaya tidak mudah berputus asa, percaya kepada diri sendiri dan paling penting, maju bersama-sama,” menurut jenama itu.

Lim mula mencipta nama dalam industri makanan dan minuman pada 2014 apabila melancarkan Boat Noodle, sekali gus memperkenalkan konsep hidangan mi dalam mangkuk kecil ala makanan jalanan Thailand kepada pengguna tempatan.

Beliau kemudian mengasaskan BananaBro pada 2018 dengan memperkenalkan pengalaman menikmati nasi menggunakan daun pisang.

Sejak itu, kedua-dua jenama berkenaan berjaya mengukuhkan kedudukan dalam industri makanan dan minuman Malaysia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here