
ISU pemilikan saham yang dikaitkan dengan Tan Sri Azam Baki wajar ditangani secara matang dan berhemah demi memastikan keadilan ditegakkan untuk semua pihak.
Dalam suasana negara yang memerlukan kestabilan institusi, sebarang dakwaan atau persoalan yang timbul perlu disiasat secara telus tanpa prejudis dan tanpa tekanan emosi.
Rakyat Malaysia khususnya diminta agar bertenang dan tidak terburu-buru membuat kesimpulan. Dalam era media sosial yang pantas menyebarkan pelbagai naratif, kita harus berhati-hati agar tidak terperangkap dalam persepsi yang belum tentu bersandarkan fakta sahih.
Prinsip keadilan menuntut setiap individu diberi ruang untuk membela diri melalui proses yang adil dan bebas.
Sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak tahun 2020, Azam telah memimpin pelbagai usaha membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam dan tokoh korporat berprofil tinggi.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, pelbagai kes besar berjaya dibawa ke muka pengadilan, sekali gus memperlihatkan komitmen institusi itu dalam memperkukuh integriti negara.
Tidak dapat dinafikan bahawa banyak kes rasuah berprofil tinggi yang sebelum ini dianggap sukar disentuh telah disiasat dan didakwa di mahkamah.
Tindakan tegas tersebut memberi mesej jelas bahawa tiada siapa kebal di sisi undang-undang. Usaha ini juga secara langsung mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Selain itu, tindakan penguatkuasaan yang konsisten telah berjaya menyelamatkan sejumlah besar wang negara daripada terus diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Dana awam yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan, kebajikan dan kemudahan rakyat dapat dipelihara hasil komitmen berterusan membanteras rasuah.
Namun begitu, demi menjaga kredibiliti institusi dan individu yang terlibat, cadangan penubuhan satu jawatankuasa siasatan khas bebas adalah langkah yang wajar dipertimbangkan.
Jawatankuasa ini hendaklah benar-benar bebas, telus dan tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap mana-mana pihak.
Paling penting, jawatankuasa tersebut tidak seharusnya terdiri daripada agensi yang mempunyai hubungan langsung dengan siasatan dalaman seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM sendiri atau Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).
Kebebasan struktur dan keanggotaan amat penting bagi mengelakkan sebarang persepsi konflik kepentingan.
Keanggotaan jawatankuasa khas itu boleh melibatkan tokoh perundangan, bekas hakim, pakar tadbir urus korporat dan wakil masyarakat sivil yang mempunyai reputasi tinggi dalam integriti.
Pendekatan ini bukan sahaja memastikan siasatan lebih diyakini, malah memperkukuh prinsip akauntabiliti dalam pentadbiran negara.
Dalam konteks negara demokrasi, persepsi awam sama pentingnya dengan kebenaran fakta. Sekiranya isu ini tidak ditangani secara bebas dan menyeluruh, ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang. Justeru, ketelusan adalah kunci.
Kita juga perlu mengakui bahawa seseorang yang memegang jawatan tinggi dalam agensi penguatkuasaan pasti tidak terlepas daripada penelitian awam. Namun penelitian tersebut mesti berlandaskan proses undang-undang yang adil, bukan tekanan politik atau sentimen semasa.
Menubuhkan jawatankuasa siasatan khas bebas bukan bermakna menghukum lebih awal, sebaliknya memberi ruang kepada kebenaran untuk terserlah. Jika didapati tiada salah laku, maka nama individu terbabit dapat dibersihkan secara tuntas. Jika sebaliknya, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan dapatan yang sah.
Pendekatan ini juga mencerminkan kematangan politik dan institusi negara dalam menangani isu integriti. Kita tidak mahu budaya trial by media menggantikan proses keadilan sebenar yang berteraskan undang-undang.
Kesimpulannya, demi keadilan buat Azam dan semua pihak, penubuhan jawatankuasa siasatan khas bebas adalah jalan tengah terbaik. Rakyat perlu bersabar, memberi ruang kepada proses yang telus dan profesional, serta terus menyokong usaha membanteras rasuah demi masa depan Malaysia yang lebih bersih dan berintegriti.


