Kerajaan perkukuh bidang AI, semikonduktor, pusat data pacu ekonomi baharu negara

KERAJAAN sedang mempergiat usaha meningkatkan tahap ekonomi negara menerusi pengukuhan industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan pusat data bagi memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, usaha itu penting bagi memastikan Malaysia terus muncul sebagai segmen yang kukuh dalam industri baharu selain memperkukuh kedudukan ekonomi negara dalam suasana global yang semakin mencabar.

“Kalau kita melihat dari segi pencapaian ekonomi kita, ia masih bertahan dengan baik sekali walaupun situasi di luar memang mencabar sekali,” katanya.

Amir Hamzah ditemui selepas Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 12: Memacu Kedudukan Malaysia dalam Gelombang Baharu Aliran Modal Global, anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara hari ini.

Mengulas mengenai langkah pembaharuan ekonomi, beliau berkata, kerajaan akan terus bergerak mengikut landasan yang digariskan menerusi pelan pembangunan industri negara.

Menurutnya, kerajaan mahu meningkatkan economic complexity supaya Malaysia terus menjadi pemain utama dalam sektor strategik dan industri masa depan.

“Kita nampak elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, pusat data, AI adalah industri puncak negara dan juga industri minyak dan gas, aeroangkasa dan semua,” katanya.

Menurut Amir Hamzah, usaha kerajaan ketika ini tertumpu kepada menarik pelaburan baharu dan menggabungkannya dengan pelaburan domestik bagi mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik kepada rakyat.

“Jadi usaha kerajaan adalah untuk menarik dan juga menggabungkannya dengan pelaburan dalam negara.

“Jadi kalau ada macam itu, kita mencipta pekerjaan lebih baik untuk orang kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia kini dilihat sebagai sebuah negara yang mempunyai kestabilan serta persekitaran kondusif untuk pelaburan.

“Orang pun telah nampak dan Malaysia ini adalah satu negara yang unik kerana kestabilan yang ada dan kondusif untuk mereka melabur dalam negara. Itu satu benda yang baik,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img