PEGUAM Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik mengetuai jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
“Jawatankuasa ini akan melaksanakan siasatan secara terperinci bagi memberi pengadilan sewajarnya kepada pihak yang disiasat.
“Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak berkuasa tata tertib untuk pertimbangan lanjut berdasarkan tata cara sewajarnya,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Penubuhan jawatankuasa khas itu diumumkan jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil hari ini yang menurut beliau diberi tanggungjawab meneliti dakwaan tersebut secara menyeluruh serta bebas.
Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7 peratus berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Februari tahun lalu.
Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Perkara ini dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.
Semalam, Azam memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg, bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung laporan agensi berita antarabangsa itu.


