SAMBUTAN Tahun Baharu Cina kali ini ternyata tidak membawa tuah buat dua beranak apabila rumah didiami mereka di Flat Taman Bagan Lalang, Butterworth terbakar pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 7.36 pagi sebelum jentera dikerah ke lokasi.
“Sebaik tiba didapati sebuah rumah flat di tingkat satu yang berkeluasan 120 kaki persegi (11.14 meter persegi) sedang terbakar. Dua penghuni iaitu seorang wanita dan anak perempuannya yang tinggal di kediaman itu sempat keluar menyelamatkan diri sebaik menyedari berlaku kebakaran.
“Api berjaya dikawal daripada merebak pada 8.06 pagi sebelum kebakaran dipadamkan sepenuhnya kira-kira 35 minit kemudian dan kerja overhaul selesai dijalankan bagi memastikan tiada sisa api atau bara yang boleh mencetuskan semula kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menyerahkan lokasi kejadian kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.
Mangsa, Tang Joo Chin, 53, dan anak perempuannya berusia 16 tahun dilaporkan berada dalam keadaan selamat.


