POLIS tidak menolak kemungkinan masalah kewangan dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak mencederakan empat ahli keluarganya sehingga mati di Taman Cerating Damai di Kuantan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, suspek berusia 32 tahun dipercayai menyerang ibu kandung, isteri serta dua anak perempuannya sebelum dia ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat mencederakan diri sendiri.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya sedang menyiasat motif kejadian daripada pelbagai aspek sehingga menyebabkan suspek bertindak sedemikian.

“Berdasarkan maklumat awal suspek baru berhenti bekerja kerja di Selangor bulan lalu dan baru memulakan pekerjaan di daerah ini. Dia tinggal di rumah ibunya bersama isteri, anak-anak dan tiga adiknya sejak sebulan lalu.
“Motif kita dalam siasatan lanjut, tapi kita tidak menolak kemungkinan masalah kewangan atau apa, dan kita masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Yahaya, semakan awal juga mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod berkaitan masalah mental.
Beliau memberitahu, insiden tragis itu disedari salah seorang adik lelaki suspek berusia 15 tahun yang berada di rumah selepas mendengar kekecohan di dalam rumah tersebut
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek, isterinya berusia 28 tahun serta dua anak perempuan mereka berumur tiga dan empat tahun ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik.
“Ibu suspek berusia 55 tahun pula ditemukan meninggal dunia di bahagian dapur,” jelasnya.
Yahaya memaklumkan, pihak juga menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
“Secara kasarnya, terdapat kesan kelar pada tubuh mangsa, namun laporan penuh bedah siasat masih ditunggu,” tambah beliau.
Kesemua mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, jiran keluarga itu, Saripah Jaya, 60, berkata, dia langsung tidak mendengar sebarang bunyi mencurigakan sama ada suara orang menjerit atau meminta tolong awal pagi itu.
Menurutnya, dia dan suami sudah terjaga kira-kira jam 6 pagi dan ketika itu cuaca hujan agak lebat.
“Saya dan suami langsung tidak mendengar sesuatu yang mencurigakan sehinggalah ternampak salah seorang ahli keluarga terbabit keluar rumah dalam keadaan agak cemas dan cuba memberitahu sesuatu.
“Tanpa mensyaki sesuatu kejadian buruk berlaku, suami keluar untuk membeli sarapan dan saya memberi makan ayam sebelum masuk semula ke dalam rumah,” katanya yang tinggal di kejiranan ini sejak lebih 20 tahun lalu.
Saripah berkata, selepas suaminya pulang dari kedai, barulah mereka sedar kejadian itu setelah beberapa anggota polis berada di kawasan rumah mangsa.
“Memang terkejut dan langsung tidak menyangka kejadian itu berlaku kepada keluarga jiran sendiri.
“Jiran yang mesra dipanggil ‘Kak Yah’ dan anak lelakinya (suspek) nampak biasa sahaja sebelum ini dan langsung tidak menunjukkan seolah-olah mereka berada dalam masalah,” katanya.
Saripah menyifatkan mangsa dan ahli keluarganya termasuk suspek begitu baik, peramah dan selalu bertegur sapa.
“Suspek sendiri memanggil saya dan suami sebagai ‘Mok dan Aboh’ dan setiap kali bersua, pasti dia akan menegur kami.
“Lepas dia pulang dan tinggal bersama keluaga di rumah ini sejak kira-kira sebulan lalu, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, nampak seperti biasa sahaja,” katanya.


