SEORANG wanita berdepan detik cemas selepas kereta dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang di Lebuhraya Ipoh-Lumut berhampiran kawasan kuari menghala ke Batu Gajah, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.03 petang.

“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Putih yang tiba di lokasi kejadian pada jam 4.10 petang mendapati sebatang pokok hutan telah tumbang.
“Pokok yang tumbang itu menghempap bahagian hadapan kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita berusia 41 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa berjaya keluar dari kenderaan tersebut dengan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 5 petang setelah keadaan disahkan selamat.


