SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebatang pokok tumbang di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke bandar raya Johor Bahru, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi berhampiran kawasan perumahan Megah Ria itu, mangsa, Brad Fischhetti Anak Kijam, 26, yang menunggang motosikal Yamaha 125Z disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.06 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang digerakkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba pada jam 4.13 pagi dan mendapati terdapat sebatang pokok mati berukuran kira-kira satu meter tumbang di atas jalan sebelum dipercayai dilanggar penunggang motosikal terbabit.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, operasi diketuai Pegawai Bomba Tinggi II Nazarudin Yusof bersama enam anggota menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).
“Anggota bomba turut menjalankan kerja pemotongan dan pengalihan pokok bagi memastikan laluan berkenaan selamat digunakan semula sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.34 pagi,” ujarnya.


