POLIS percaya faktor cemburu menjadi motif pembunuhan seorang wanita warga Indonesia yang ditemukan dengan kesan jerutan di leher di kawasan kebun pisang di Banting, Kuala Langat pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan awal mendapati salah seorang daripada dua suspek yang ditahan merupakan suami mangsa.
Beliau berkata, motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu.
“Setakat ini, siasatan awal mendapati suspek dan mangsa merupakan pasangan suami isteri.
“Motif kejadian dipercayai berkaitan cemburu, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes berkenaan direman selama tujuh hari.
Dalam kejadian semalam, seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 30-an ditemukan maut dengan kesan jerutan di leher di kawasan kebun pisang di Banting.
Mohd Akmalrizal berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat wanita itu kira-kira jam 11.07 pagi.


