Sultan Pahang zahir dukacita kejadian bunuh di Kuantan

SULTAN Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan dukacita dan kekecewaan mendalam terhadap pembunuhan tragis yang berlaku di kawasan perumahan Taman Cherating Damai di Kuantan hari ini.

Baginda bertitah, kejadian seumpama itu tidak seharusnya berlaku dan amat mengejutkan khususnya apabila ia melibatkan sebuah keluarga.

“Ini tidak harus berlaku dan sebagai Raja Pemerintah, saya nasihatkan rakyat supaya awasilah mereka yang cuba mempunyai perangai yang sebegini, tidak harus dibiarkan,” titah baginda yang dimuat naik menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda turut menyeru rakyat supaya sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku individu di sekeliling mereka serta tidak memandang ringan sebarang tanda yang boleh membawa kepada kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada mangsa yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Kejadian kira-kira pukul 7 pagi tadi itu melibatkan dua kanak-kanak perempuan berusia 3 dan 4 tahun dan ibu bapa mereka, masing-masing berusia 28 dan 32 tahun, yang ditemukan di dalam bilik tidur.

Turut terlibat wanita berusia 55 tahun yang dijumpai maut di ruang dapur.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata, lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai mencederakan isteri, ibu dan dua anaknya menggunakan senjata tajam disyaki pisau sebelum bertindak mencederakan diri sendiri dan turut maut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img