Penganggur didakwa bunuh gelandangan wanita diarah jalani pemeriksaan mental

SEORANG penganggur yang didakwa membunuh wanita gelandangan di Sentul, Kuala Lumpur pada 9 Februari lalu diperintahkan untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan mengeluarkan perintah tersebut supaya Syed Faizal Syed Alwi, 46, menjalani ujian psikiatri selepas Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memaklumkan kepada mahkamah bahawa pegawai penyiasat melaporkan tertuduh dipercayai tidak waras.

Syed Faizal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini dan didakwa membunuh seorang wanita yang tidak dikenal pasti identitinya di hadapan sebuah premis di Jalan Sentul antara jam 6.35 dan 6.36 pagi pada 9 Februari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan jika tidak dihukum gantung.

Mahkamah menetapkan 19 Mac depan untuk sebutan semula kes serta laporan penilaian psikiatri.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, polis menahan seorang suspek berusia 46 tahun susulan penemuan mayat seorang wanita gelandangan dipercayai dibunuh di Jalan Sentul pada 9 Februari lalu.

Ahmad Sukarno berkata, mangsa dipercayai berusia lingkungan 50-an hingga 60-an ditemukan terbaring dengan kecederaan parah pada bahagian kepala dan kematian disahkan pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan fizikal mendapati mangsa mengalami luka sepanjang empat sentimeter pada bahagian kepala sebelah kanan atas telinga serta bengkak pada kelopak mata,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img