AGC fail permohonan semakan kehakiman pembebasan Da’i Syed

JABATAN Peguam Negara (AGC) akan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan majoriti Mahkamah Rayuan semalam yang membebaskan Da’i Syed, atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, daripada pertuduhan merogol.

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti alasan penghakiman Mahkamah Rayuan.

“AGC mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan pada 5 Nov 2026 menerusi keputusan majoriti yang telah melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Setelah meneliti alasan-alasan penghakiman oleh panel hakim Mahkamah Rayuan, Pendakwa Raya memutuskan bahawa satu permohonan semakan akan difailkan di bawah Kaedah 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994,” menurut kenyataan itu.

AGC memaklumkan permohonan itu akan berlandaskan prinsip perundangan dan kriteria serta ambang yang ditetapkan bagi pelaksanaan bidang kuasa semakan Mahkamah Rayuan seperti yang digariskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Asean Security Paper Mills Sdn Bhd v Mitsui Sumitomo Insurance (Malaysia) Bhd.

“Sehubungan dengan itu, hujahan pihak pendakwaan akan tertumpu kepada persoalan sama ada terdapat keadaan luar biasa yang memenuhi ambang perundangan tersebut bagi membolehkan mahkamah mempertimbangkan pelaksanaan bidang kuasa semakannya,” menurut kenyataan itu.

Menurut AGC, pihaknya mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan serta kekal komited dalam memelihara keluhuran undang-undang dan memastikan keadilan ditegakkan menerusi saluran serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Semalam, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dalam keputusan majoriti 2-1 membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019 manakala Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid mengekalkan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan ke atas pendakwah bebas itu.

Panel itu membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan akhir Syed Shah Iqmal terhadap sabitan serta hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah merogol seorang wanita yang ketika itu berumur 23 tahun di sebuah kondominium di Shah Alam pada 1.35 pagi 11 Sept 2019 mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pendakwah bebas itu membela diri atas pertuduhan tersebut selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Pada 23 Jan lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Syed Shah Iqmal dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen sekali gus mendorong pendakwah selebriti itu membawa kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan.

Pihak pendakwaan pula mengemukakan rayuan balas terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas Syed Shah Iqmal.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here