IBU pejabat Pas Pusat di ibu negara menjadi tumpuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) petang ini yang menghadiri Mesyuarat Tertinggi (MT) parti gabungan itu untuk melantik Pengerusi PN baharu.
Beberapa pemimpin parti komponen PN termasuk Presiden Parti Gerakan Malaysia (Gerakan), Dominic Lau dan dua Naib Presiden Bersatu yang kini memangku tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Radzi Jidin.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah.
Difahamkan beberapa pemimpin Pas termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah berada di pejabat itu sejak pagi bagi menghadiri mesyuarat yang dijadual berlangsung pada jam 3 petang.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengesahkan akan menghadiri mesyuarat berkenaan.
Ahli Parlimen Pagoh itu dalam kenyataan berkata, pertemuan tersebut bakal membincangkan perkara-perkara melibatkan pemerkasaan PN.
Pada Selasa lalu, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, mesyuarat khas berkenaan sudah ditetapkan jam 3 petang hari ini di Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur.
Menurut Takiyuddin, mesyuarat tersebut diadakan khusus bagi membincangkan dua agenda utama termasuk meluluskan peletakan jawatan Pengerusi PN oleh Muhyiddin sebelum ini serta melantik pengerusi baharu bagi menerajui gabungan berkenaan.


