NAIB Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatannya sebelum ini.
Timbalan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat yang bermula pada jam 3 petang itu turut meluluskan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Katanya, Muhyiddin juga dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN berkuat kuasa serta merta.
Menurut Takiyuddin, Ahmad Samsuri dipilih sebulat suara oleh empat Presiden parti gabungan dalam PN yang menghadiri mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) PN yang diadakan di ibu pejabat Pas di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, kesemua empat Presiden iaitu Muhyiddin (Bersatu); Tan Sri Abdul Hadi Awang (Pas); Datuk Dominic Lau (Gerakan) dan P Punithan (Parti Rakyat India Malaysia MIPP) sebulat suara bersetuju melantik Menteri Besar Terengganu itu untuk menerajui PN berkuat kuasa serta-merta.
“Ahmad Samsuri menjadi satu-satunya pemimpin yang dicalonkan sebagai Pengerusi PN sebelum dipersetujui sebulat suara. Pencalonan beliau dibuat sendiri oleh Tan Sri Abdul Hadi.
“Pas berpandangan dengan kelebihan yang ada pada Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar Terengganu selama dua penggal. Beliau telah menunjukkan satu prestasi yang cukup baik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan juga Pilihan Raya Negeri di Terengganu dengan memenangi semua kerusi atas tiket PN.
“Jadi itu antara beberapa kriteria kenapa Ahmad Samsuri dipilih untuk menerajui Majlis Tertinggi Perikatan Nasional,” katanya dalam sidang media sejurus mesyuarat khas MT PN itu hari ini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin memberitahu, pelantikan Ahmad Samsuri dibuat selepas mengambil kira aspek Perlembagaan PN yang tidak menetapkan jawatan Pengerusi mesti disandang oleh Presiden atau Timbalan Presiden parti.
Sebaliknya, Perlembagaan membenarkan mana-mana individu dalam PN dipilih oleh MT.
Tambah Takiyuddin, mesyuarat turut menyentuh cadangan penambahbaikan Perlembagaan PN, yang akan dibincangkan secara lanjut dalam mesyuarat akan datang bagi memperkukuh kesiapsiagaan PN menghadapi pilihan raya umum dan negeri.
Difahamkan, Ahmad Samsuri tidak menghadiri mesyuarat tersebut kerana bukan lagi ahli MT selepas melepaskan jawatan Bendahari pada Disember 2024.
Bagaimanapun, pihak sekretariat akan memaklumkan pelantikan itu secara rasmi kepada beliau.
Mesyuarat turut memutuskan perkara-perkara lain, termasuk pelantikan ahli MT PN yang baharu akan diputuskan dalam mesyuarat seterusnya selepas Pengerusi baharu memulakan tugas.
Dalam sidang media itu juga, Takiyuddin memaklumkan Pas dijangka akan mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen bagi menggantikan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat pimpinan partinya minggu lalu.
Menurut Takiyuddin, MT PN telah setuju dengan pengambilalihan jawatan itu namun perkara tersebut akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat akan datang.
“Pas memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara ini,” katanya.


