MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan pengorbanan keluarga anggota tentera mendiang Truper K Indiran yang meninggal dunia pada Khamis lalu sebagai tidak terbalas.
Menerusi hantaran di Facebook, Mohamed Khaled berkata, ibu kepada mendiang Indiran, S Usha bersama keluarga sekali lagi diuji dengan kehilangan insan tersayang yang telah mengabdikan khidmat kepada negara.
Bapa mendiang, Lt Kolonel C Kayamboo daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft B200T pada 2016.
“Pengorbanan sebuah keluarga yang menyerahkan bukan seorang tetapi dua insan tersayang kepada tanah air merupakan satu pengorbanan yang tidak akan dapat dibalas mahupun dibandingkan dengan apa jua cara sekalipun,” katanya.
Mohamed Khaled turut menzahirkan rasa sedih yang mendalam kepada keluarga mendiang dan memohon rakyat Malaysia agar terus mendoakan mereka supaya kekal cekal serta tabah menghadapi dugaan berat itu.
Pada 18 Februari lalu, mendiang Indiran, 22, yang sedang mengikuti kursus di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja Kem Batu 10 Kuantan, Pahang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan.
Semalam, Mohamed Khaled dilapor berkata, tiada unsur penderaan atau buli dikesan dalam kematian anggota tentera berkenaan.
Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman menyifatkan kematian mendiang Indiran sebagai lambang pengorbanan, kesetiaan dua generasi.

Malek Razak hari ini menziarahi waris mendiang anggota tentera di Pulau Pinang bagi menyampaikan ucapan takziah serta memberi sokongan moral.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, mendiang disemadikan mengikut istiadat pengebumian tentera bersebelahan pusara bapanya.
“Pengorbanan dua generasi ini bukan sekadar catatan sejarah keluarga, tetapi lambang kesetiaan dan keberanian yang terpahat dalam jiwa seorang perwira dan perajurit.
“Sebagai PAT, saya amat tersentuh dengan ketabahan ditunjukkan ahli keluarga mendiang. Semoga keluarga mendiang terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang sukar ini… pengorbanan mendiang akan sentiasa dikenang,” katanya dalam hantaran itu hari ini.
Malek Razak berkata, Angkatan Tentera Malaysia akan sentiasa berdiri teguh bersama waris-waris perwira dan perajurit negara.


