Sultan Pahang zahir ucapan takziah dan dukacita, kurnia sumbangan kepada keluarga Prebet Amirul Raziq

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah dan dukacita kepada keluarga Allahyarham Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, anggota tentera yang meninggal dunia selepas dua minggu koma, semalam.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang hari ini, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan yang disampaikan oleh Pegawai Agama Istana, Leftenan Kolonel Anuar Mohd Ehwal kepada ayah Allahyarham, Rosafindi Tambi Chik.

“Sumbangan itu disampaikan di Masjid Felda Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan, kira-kira jam 3 pagi (hari ini) sebelum urusan pengebumian jenazah di tanah perkuburan berhampiran,” menerusi hantaran itu.

Terdahulu, suasana pilu dan hiba menyelubungi Masjid Kariah Felda Sungai Kelamah di Gemas apabila van membawa jenazah Muhammad Amirul tiba pada jam 2.18 pagi.

Ahli keluarga, anggota Tentera Darat serta sahabat turut mengiringi jenazah anggota pasukan Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD) itu untuk disolatkan pada 2.30 pagi di masjid berkenaan.

Jenazah Muhammad Amirul dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Kelamah pada jam 4.30 pagi dengan penuh istiadat ketenteraan.

Muhammad Amirul, 24, meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh jam 9.40 pagi semalam, selepas koma sejak 30 Mac lalu akibat dikasari seorang anggota berpangkat koperal di Kem Batalion 25 RAMD, Bentong.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img