Siapapun Pas pilih ketua pembangkang, Bersatu tak boleh ‘bising’

SELEPAS siapa yang akan menjadi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) diketahui apabila Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr.Samsuri Mokhtar dipiilih menduduki jawatan itu, kini persoalan siapa akan menjadi Ketua Pembangkang mula diperbahaskan.

 Pas sudah menyatakan kesediaan menduduki jawatan tersebut manakala semalam Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man  menyatakan, nama calon bagi jawatan itu akan dimuktamadkan minggu ini.

 Setakat ini tiada gambaran secara jelas siapakah yang akan memegang jawatan itu yang dianggap ‘lebih panas’ daripada Pengerusi PN. Ia memandangkan jika Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat oleh Bersatu ‘secara borong’ bersama 16 lagi pemimpin parti itu baru-baru ini digugurkan sebagai Ketua Pembangkang sudah ada individu dalam Bersatu ‘akan berpesta’.

Ia memandangkan difahamkan ketika mesyuarat tergempar PN pada Ahad lalu sepatutnya isu jawatan Ketua Pembangkang tidak ada dalam agenda, bagaimanapun pemimpin Bersatu mahukan keputusan dibuat berkaitan kedudukan Ketua Pembangkang.

Akhirnya Pas bersetuju mengambil alih jawatan tersebut dan akan mengumumkan calon mereka apabila tiba masanya. Tetapi bagaimanakah kalau Pas membuat keputusan mengekalkan Hamzah memegang jawatan itu?

Ketika ini biarpun Hamzah dipecat secara rasmi bersama lima lagi Ahli Parlimen Bersatu iaitu Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor), Wan Fahsyal Wan Ahmad Kamal (Machang), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota),  Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Padang Rengas Azahari Hassan, namun Hamzah yang merupakan Ahli Parlimen Larut mendapat sokongan 13 lagi ahli Parlimen Bersatu yang masih berada dalam parti tersebut.

Pada masa sama, Hamzah juga mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen Pas. Oleh itu jika beliau dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang pun tidak ada salah. Kalau Bersatu termasuk Muhyiddin mahu membantah apa hak mereka?

Sepatutnya dengan segala kemelut yang berlaku dalam Bersatu, pemimpin parti itu tidak berhak membantah apa juga keputusan dan kehendak Pas . Kalaulah rumah tangga sendiri berantakan, jangan terlalu bermimpi hendak mengatur orang lain membuat keputusan apatah lagi melobi untuk menduduki jawatan tersebut.

Sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam blok pembangkang, Pas ada kuasa mutlak untuk memilih siapa sahaja untuk menjadi Ketua Pembangkang termasuklah bukan ahli Parlimen parti itu. Semua terserah kepada Pas menentukannya, Bersatu tidak perlu menyibuk.

Pemimpin Bersatu perlu faham, mereka merupakan parti paling bergolak di tanah air. Setiap hari ini ada sahaja bahagian parti itu dibubarkan dan di Dewan Rakyat pula sokongan majoriti ahli Parlimen Bersatu tidak lagi bersama ‘Abah Presiden, Pengasas’ – sebaliknya sokongan terhadap beliau semakin melemah.

Oleh itu adalah lebih baik Muhyiddin dan pemimpin Bersatu selesaikan dulu masalah dalaman parti itu yang semakin kronik dan dijangka bertambah kronik dalam tempoh seminggu dua ini. Soal Ketua Pembangkang biarlah Pas uruskan. Siapapun Pas pilih terima sahaja, tak payah mengada-gada hendak membantah.

Dalam membuat keputusan siapa Ketua Pembangkang, Pas tidak perlu terganggu sama ada Bersatu akan tersinggung atau tidak, apa yang penting ialah adakah Ketua Pembangkang untuk mendapat sokongan padu blok pembangkang? Jika Ya apa salahnya beliau menduduki jawatan tersebut walaupun bukan dari Pas?

Apapun Pas tetap ada pilihan termasuklah melakukan langkah berani melantik ahli Parlimen seperti Tuan Ibrahim, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu), Syahir Sulaiman (Bachok) atau Ahmad Fadhli (Pasir Mas)….atau paling tidak Samsuri.

Lagipun seperti mana tiada peraturan yang menyatakan Ahli Parlimen Bebas tidak boleh menjadi Ketua Pembangkang, begitulah juga bagi calon Perdana Menteri tidak semestinya Ketua pembangkang. Janganlah tak menang lagi pilihan raya dah hiruk pikuk soal tersebut.

Kesimpulannya tunggu sahaja  apa langkah politik Pas dalam soal memilih Ketua Pembangkang…parti itu pasti ada strategi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img