SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tegas menafikan kewujudan mana-mana “Mafia Korporat” yang kononnya dikaitkan dengan Suruhanjaya ini seperti yang dilaporkan dalam satu penerbitan antarabangsa baru-baru ini.
Dakwaan tersebut dipercayai berpunca daripada sebuah blog dalam talian yang tidak mempunyai nama pemilik, penulis atau akauntabiliti yang jelas.
Berikut kenyataan SPRM:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tegas menafikan kewujudan mana-mana “Mafia Korporat” yang kononnya dikaitkan dengan Suruhanjaya ini seperti yang dilaporkan dalam satu penerbitan antarabangsa baru-baru ini.
Dakwaan tersebut dipercayai berpunca daripada sebuah blog dalam talian yang tidak mempunyai nama pemilik, penulis atau akauntabiliti yang jelas.
SPRM menolak sepenuhnya dakwaan-dakwaan tanpa asas yang dibangkitkan. Suruhanjaya memandang serius penyebaran tuduhan palsu sedemikian, khususnya apabila ia boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara sah.
SPRM berpandangan bahawa tuduhan ini merupakan satu cubaan untuk mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan Suruhanjaya dalam sektor korporat, khususnya terhadap pihak-pihak yang mungkin terjejas oleh tindakan undang-undang yang sedang dijalankan.
SPRM juga melihat isu ini sebagai isu lama yang dikitar semula dan sengaja dimainkan semula bagi mencemarkan imej serta reputasi Suruhanjaya.
SPRM menegaskan bahawa semua siasatan dijalankan berasaskan bukti, selaras dengan undang-undang, serta tertakluk kepada proses perundangan yang ditetapkan.
Penyebaran tuduhan tanpa asas yang berpunca daripada sumber yang tidak dapat disahkan berisiko mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan. Tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai penyebaran maklumat palsu dan fitnah.
Suruhanjaya turut memaklumkan bahawa perkara ini kini sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sehubungan itu, SPRM memberi jaminan kerjasama penuh kepada pihak polis bagi memastikan fakta dan kebenaran dapat ditentukan selaras dengan undang-undang.
Sehubungan itu, SPRM menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau bukti yang sahih berkaitan rasuah atau salah laku agar membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
Penyaluran maklumat melalui saluran yang sah membolehkan siasatan dijalankan secara teratur dan adil mengikut proses undang-undang, bukannya melalui perbicaraan media (trial by media) atau penerbitan tanpa bukti yang kukuh.
SPRM kekal komited untuk melaksanakan mandatnya membanteras rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan tidak akan terhalang oleh sebarang cubaan untuk mencemarkan integriti atau mengganggu peranan dan fungsi Suruhanjaya.


