SESI perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat, hari ini ‘panas’ apabila beberapa ahli Parlimen menggesa kerajaan segera mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berhubung isu pemilikan sahamnya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyarankan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan dakwaan ‘mafia korporat’.
Beliau berkata, fokus siasatan sepatutnya tumpu kepada Azam memandangkan terdapat laporan dan dokumen mengenai kes berkenaan.
“Yang perlu disiasat dalam hal ini ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM sebab ada kes, bukti dan dokumen, bukannya (siasat) Ahli Parlimen Pandan (Rafizi Ramli). Itu salah.
“Itu (satu bentuk) intimidasi atau ugutan, tidak boleh seperti itu. Kalau jumpa di rumah selamat Ahli Parlimen Pandan ada banyak jongkong emas, duit beribu ringgit, beg mahal, cincin permata atau loket, itu cerita lain tetapi tidak ada.
“Hanya ada satu atau dua aduan sahaja (tetapi) terus cepat bertindak,” katanya
Hassan berkata, kenyataannya bukan bertujuan untuk membela sesiapa, sebaliknya bagi mempertahankan sistem keadilan di negara ini.
Beliau berkata, walaupun terdapat jawatankuasa khas yang bertanggungjawab mengendalikan isu berkenaan namun, usaha tersebut dilihat masih belum mencukupi.
“Bukan kerana beliau (Rafizi) sahabat atau kenalan saya. Tetapi biar keadilan ini nampak jangan menjadikan SPRM sebagai alat. Saya harap kerajaan dengar tuntutan rakyat termasuk ahli Parlimen supaya bentuk RCI. Kalau boleh lantik ketua hakim negara yang telah bersara dan berintegriti. Siasatlah laporan Bloomberg mengenai dakwaan mafia korporat dan juga isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong paling lantang apabila memberi amaran dengan menegaskan kegagalan untuk bertindak boleh menyebabkan rakyat dan pengundi hilang kepercayaan terhadap kerajaan hari ini.
Beliau berkata, apa yang berlaku merupakan kali kedua isu pemilikan saham melibatkan Azam dibongkar, sekaligus menuntut satu tindakan drastic dilakukan.
“Azam Baki perlu letak jawatan. He has to go. Either he has to go or we have to go (Dia kena pergi atau kita yang perlu pergi). He go or we go (Dia pergi atau kita yang pergi). Itu adalah pesanan saya. Kerana sekiranya kita membenarkan beliau terus memegang jawatan ketua pesuruhjaya SPRM, pilihan raya akan datang pengundi akan hukum kita,’’ katanya
Beliau turut mencadang kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat laporan melibatkan Azam untuk membersihkan nama.
‘Masa bahas saya (sudah) tamat tapi jangan tempoh kita jadi kerajaan tamat selepas pilihan raya akan datang,” tegasnya.
Minggu lalu, Bloomberg dan Malaysiakini secara berasingan melaporkan bahawa Azam memiliki pegangan saham yang besar dalam dua syarikat yang dilihat melebihi had yang dibenarkan kepada penjawat awam.
Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan Azam pada satu ketika memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad dan kira-kira 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad. Saham Velocity Capital Partner dipercayai dibeli sekitar RM1.5 juta, manakala saham Awanbiru dianggarkan bernilai antara RM1.24 juta hingga RM1.38 juta pada satu ketika.
Bagaimanapun Azam menegaskan bahawa pegangan sahamnya tidak melibatkan modal berbayar, sebaliknya diperoleh melalui pembelian di pasaran terbuka.
Poay Tiong berkata ini bukan kali pertama Azam melakukan kesalahan seumpama itu.
“Pada tahun 2022, ketua pesuruhjaya SPRM pada ketika itu juga memiliki saham lebih daripada yang dibenarkan. Ini merupakan kali kedua dibongkarkan. Jadi saya minta supaya kerajaan mengambil tindakan yang tegas,” katannya.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mewakili kumpulan tersebut menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Anwar tidak seharusnya menanggung risiko dihukum oleh rakyat berpunca daripada tuduhan yang membabitkan seorang penjawat awam.


