Polis tahan penuntut UMPSA hina Islam dalam media sosial, netizen puji tindakan pantas pihak berkuasa

POLIS menahan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam dalam media sosial.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, penuntut terbabit ditahan awal pagi ini.

“Polis sudah menahan penuntut disyaki menghina Islam dan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.

DATUK Seri Yahaya Othman

Sejak semalam tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA dalam media sosial.

Turut tular gambar lelaki terbabit dan tangkap layar komen menghina Nabi Muhammad SAW.

Difahamkan penuntut terbabit ditahan sebaik sahaja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menerima laporan mengenai kes itu.

Menurut Yahaya, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap penuntut terbabit hari ini.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama lain dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun dan denda.

Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menghantar komunikasi bersifat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain termasuk kandungan jelik.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dipenjara hingga setahun dan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan pantas diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan penuntut terbabit bagi meredakan keadaan.

Ini kerana hantaran dibuat suspek mengundang kemarahan netizen, lebih-lebih lagi ia dilakukan ketika umat Islam menyambut Ramadan, bulan suci di mana turunnya al-Quran.

Ramai pihak yang mengecam tindakan penuntut terbabit yang disifatkan mereka seolah-olah sengaja memainkan isu perkauman dan menguji tahap kesabaran umat Islam di negara ini.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img