Tembak kereta Komander AKPS : Motif untuk menakutkan penguat kuasa

TINDAKAN dua suspek melepaskan tembakan ke arah kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam awal pagi tadi dipercayai bertujuan untuk menakutkan pegawai penguat kuasa.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya percaya kejadian itu mempunyai kaitan individu yang berkemungkinan tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa sama ada AKPS atau polis yang banyak melakar kejayaan rampasan.

Mengulas lanjut, beliau memberi contoh kejayaan AKPS merampas daging khinzir yang cuba diseludup masuk bulan lalu, selain beberapa rampasan lain yang menyebabkan ada kemungkinan pihak tertentu tidak berpuas hati.

“Jadi motif kejadian setakat ini kita percaya untuk menakut-nakutkan pihak berkuasa.

“Bagaimanapun kejadian ini tidak akan mematahkan semangat semua pegawai penguat kuasa untuk terus menjalankan tugas dan membanteras penyeludupan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

Dalam kejadian awal pagi tadi, kenderaan jenis Proton X70 dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir ditembak dengan dua das tembakan.

Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian jam 5.40 pagi itu yang dipercayai dilakukan dua suspek tidak dikenali yang menaiki motosikal.

Dalam pada itu, Adzli berkata siasatan setakat ini mendapati suspek memakai topi keledar berpenutup penuh dan tidak membuka lampu ketika melepaskan tembakan.

Mengulas lanjut, katanya ketika kejadian Mohd Nasaruddin dalam perjalanan ke masjid yang terletak satu kilometer dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam sebelum tiba-tiba terdengar letupan.

“Beliau cuba mengejar dua suspek yang menaiki motosikal itu, namun gagal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain mengesahkan kejadian pegawainya diserang dua lelaki dan memaklumkan beliau dalam perjalanan ke sana.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img