Lelaki hilang terjatuh dalam Empangan Sultan Azlan Shah, rakan terselamat

SEORANG lelaki dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, dekat Ipoh awal pagi tadi, manakala rakannya berjaya diselamatkan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang hilang ialah Ridzuan Zulkarnain, 32 sementara rakannya, Mohd Jumadi Abd Aziz, 34, berjaya diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat selepas ditemukan terapung di permukaan air.

MANGSA, Mohd Jumadi Abd Aziz ditemukan terapung selepas terjatuh dalam Empangan Sultan Azlan Shah di Ipoh awal pagi ini. Rakannya, Ridzuan Zulkarnain masih hilang. GAMBAR: JBPM TAMBUN

Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.14 pagi sebelum anggota dari balai berhampiran digerakkan ke lokasi.

Menurut beliau, kejadian disedari pihak pengurusan empangan selepas ternampak kelibat dua lelaki dalam keadaan terkapai-kapai di permukaan air menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sebelum segera menghubungi pihak berkuasa.

“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati seorang mangsa masih terapung. Pasukan penyelamat bertindak membaling boya sebelum menarik mangsa naik ke pelantar empangan setinggi kira-kira sembilan meter menggunakan tali penyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Jumadi dibawa naik ke kawasan selamat dan diserahkan kepada pihak perubatan untuk pemeriksaan lanjut.

Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mengesan Ridzuan masih diteruskan. Operasi tertumpu di sekitar kawasan empangan dengan pemantauan rapi memandangkan keadaan air yang dalam dan gelap pada waktu malam.

Sebuah Pusat Kawalan Operasi telah didirikan di lokasi bagi menyelaras gerakan pasukan penyelamat.

Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan empangan tanpa kebenaran serta sentiasa mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img