SEORANG gadis mengalami detik cemas apabila terjatuh ke dalam sebuah longkang tidak berpenutup berhampiran Wisma Persekutuan, Sandakan, tengah hari semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Sulaiman Salama berkata, orang awam yang kebetulan berada di lokasi itu segera melaporkan kejadian berkenaan kepada pasukan penyelamat.
“Kejadian pukul 1 tengah hari, menyebabkan mangsa terpaksa dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membawanya keluar dari dalam longkang berkenaan” katanya, lapor Harian Metro.
Difahamkan, mangsa yang sedang menjalani latihan industri di sebuah pejabat kerajaan di situ keluar untuk membeli makanan sebelum terjatuh ke dalam longkang sedalam 1.5 meter.
Susulan laporan itu, katanya, APM menggerakkan pasukan bagi melakukan operasi menyelamat dan berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
“Mangsa berada dalam keadaan stabil, namun mengalami kesakitan di bahagian belakang badan serta cedera di buku lali kanan.
“Pasukan memberi rawatan kecemasan awal sebelum menghantar mangsa ke Hospital Duchess of Kent untuk tindakan lanjut,” katanya.



