Kenyataan fitnah: Caprice fail saman terhadap Rafizi RM10 juta

PEMPENGARUH media sosial, Ariz Ramli atau dikenali sebagai Caprice mengesahkan telah memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, semalam.

Menurut Caprice, beliau telah mengarahkan peguam yang mewakilinya, Mohd Rezan Ezra Muhd Mosinal untuk memfailkan saman fitnah itu semalam dan difahamkan proses penyerahan saman akan berlaku hari ini.

Beliau berkata, antara tuntutan yang dikemukakan adalah ganti rugi sebanyak RM10 juta, permohonan maaf dan injunksi terhadap beliau.

“Saya ingin memberi pencerahan bahawa tindakan ini dibuat setelah Rafizi gagal memohon maaf kepada saya dan menurunkan posting-posting media sosial beliau berkenaan tuduhan beliau bahawa saya telah memfitnah beliau seperti yang telah diperincikan melalui dua surat tuntutan peguam bertarikh 20 dan 23 Februari lalu.

“Saya juga ingin menekankan bahawa ketika podcast Rafizi yang disiarkan pada 20 Februari lalu, beliau tidak sama sekali menafikan hubungan perniagaan beliau bersama Lee Choo Boo, CEO kepada Itramas Corporation yang pada suatu ketika telah memegang saham dalam syarikat Invoke.

“Beliau juga tidak menafikan bahawa beliau mempunyai penglibatan dalam projek NETR yang telah dianugerahkan kepada Itramas Corporation, semasa menjadi Menteri Ekonomi,” kata Caprice dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Caprice memberitahu, beliau berharap melalui saman fitnah ini, nama baiknya akan dapat dibersihkan daripada fitnah-fitnah yang telah dilontarkan oleh Rafizi sebelum ini.

Pada 20 Februari lalu, Caprice mengadakan sidang media di ibu negara memaklumkan telah menghantar notis tuntutan kepada Rafizi.

Dalam sidang media itu, Caprice turut menyatakan kesediaan untuk berdamai dengan Rafizi dan berhasrat menghadiahkan sembilan kuntum bunga ros sebagai simbol perdamaian.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img