Laporan isu pemilikan saham Azam Baki diserah minggu depan, Kabinet pertimbang keperluan tubuh RCI – Fahmi

ISU dakwaan pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, kini di peringkat akhir dengan laporan siasatan dijangka diserahkan minggu hadapan.

Jurucakap Kerajaan MADANI merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa jawatankuasa siasatan yang diketuai Peguam Negara kini berada pada fasa terakhir proses siasatan berhubung perkara itu.

Menurutnya, laporan penuh siasatan berkenaan dakwaan pemilikan saham tersebut akan diserahkan kepada kerajaan untuk penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan diambil.

“Jemaah Menteri mengambil maklum perkembangan siasatan dan akan meneliti dapatan laporan sebelum membuat sebarang keputusan susulan,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.

Berhubung dakwaan salah guna institusi SPRM bagi kepentingan korporat, beliau berkata, laporan polis telah dibuat dan siasatan kini dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara segera.

Katanya, siasatan itu bertujuan mengenal pasti mana-mana pihak yang melanggar undang-undang supaya tindakan sewajarnya dapat diambil serta kes dibawa ke muka pengadilan.

Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa kedua-dua isu, iaitu dakwaan pemilikan saham melibatkan Azam serta dakwaan salah guna institusi, merupakan perkara serius dan kerajaan mengambil maklum cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Justeru, Jemaah Menteri akan meneliti laporan jawatankuasa siasatan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan tindakan susulan, termasuk keperluan melaksanakan RCI,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img