AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan membawa masuk sejumlah 10 kontena mengandungi campuran sisa elektronik (e-waste) dan logam sekerap melalui Pelabuhan Barat di Klang hari ini.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemeriksaan fizikal dijalankan kira-kira jam 9 pagi ke atas 15 kontena yang sebelum itu ditahan petugas mesin pengimbas kontena.
Beliau memberitahu, pemeriksaan itu turut disertai SIRIM, Lembaga Pelabuhan Klang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
“Hasil pemeriksaan mendapati 10 kontena berisi campuran e-waste seberat 245,780 kilogram.
“Kesemua kontena masuk ke dalam negara pada Disember 2024, Mei dan Julai 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Nik Ezanee, kemasukan Bahan Buangan Terjadual adalah dilarang sama sekali menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Katanya, semua kontena terbabit akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis daripada JAS bagi tujuan pengeksportan semula.
“AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa-sisa yang terlarang,” ujarnya.
Tegas beliau, AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara.


