RAKYAT dimohon untuk sama-sama mendoakan kesihatan dan keafiatan buat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang kini berada dalam keadaan gering.
Jurucakap Kerajaan MADANI yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia susulan kesakitan musculoskeletal membabitkan otot dan tulang di bahagian belakang serta pinggul, dialami baginda seperti dimaklum Istana Negara hari ini.
“Saya mengajak kita semua untuk sama-sama mendoakan kesihatan dan keafiatan buat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataan turut memaklumkan Seri Paduka Baginda dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya berehat dan tidak berangkat ke sebarang majlis bagi memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan.
Istana Negara turut memaklumkan majlis perasmian Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sultan Ibrahim yang dijadualkan berlangsung semalam turut ditangguhkan ke suatu tarikh lain.


