
SEMALAM penulis menerima satu klip video yang memaparkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar menyambut kunjungan Pesuruhjaya Tinggi British Ailsa Terry ke Terengganu.
Bagi mereka yang tidak mengetahui maklumat sebenar pasti akan terperangkap dengan fitnah dalam video tersebut.
Ia disertai dengan keterangan iaitu:
‘’Sejurus nama Dr Sam diumumkan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional&bakal PM ke-11, serta-merta Kerajaan British menghantar Pesuruhjaya Tinggi dan semua Diplomat mereka melakukan kunjungan hormat rasmi ke Pejabat YAB Ir Dr Haji Samsuri dan mengadap ke bawah DYMM Sultan Mizan. British yang memberi kemerdekaan kepada Malaya 1957. British tahun kemahuan 95% anak jati Islam di Malaysia mahu Dr Sam jadi Perdana Menteri.Takbir.Pilihan Tun M memang tepat.’’
FAKTANYA itu adalah video lama. Pertemuan antara Ailsa Terrry dan Ahmad Samsuri berlaku pada 29 Mei 2024 – tujuh bulan selepas Ailsa dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi British bagi menggantikan Charles Hay. Ailsa berkhidmat sehingga April 2025. Jawatan itu sekarang disandang oleh Ajay Sharma.
Kalau mengikut rekod, ketika itu Ailsa turut membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Besar dan Ketua Menteri yang lain.
Mungkin mereka yang melakukan fitnah tahu fakta-fakta tersebut tetapi sengaja membuta hati dan mengotorkan fikiran semata-mata mahu memburuk-burukkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu. Paling tidak wajar nama Sultan Terengganu pun dipetik. Ini bukan soal penulis menyebelahi sesiapa tetapi ini soal bagaimana politik fitnah mahu dijadikan ‘senjata’ bagi memusnahkan lawan politik.
Penulis tahu mereka bimbang dengan kewibawaan Ahmad Samsuri yang dipilih menjadi Pengerusi PN bagi menggantikan Tan Sri Muhyidddin Yassin yang meletak jawatan tersebut, tetapi fikirlah cara lain bukanlah melalui fitnah.
Taktik jahil dan psywar tidak bijak ini mungkin memuaskan hati mereka yang melakukannya tetapi ia boleh merosakkan rakyat yang sepatutnya dididik berpolitik secara matang dan bukannya melalui ‘kerja-kerja bodoh’ seperti itu.
Sebelum video ini tersebar, beberapa hari lalu terdapat juga surat yang kononnya ditulis oleh bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi. Surat itu kononnya mengandungi permohonan Hamzah yang merupakan Ahli Parlimen Larut mahu menyertai UMNO.
Tidak tahu siapa yang melakukannya, yang pasti ia dibuat oleh musuh politik Hamzah, kononnya untuk orang tahu bahawa Hamzah buat kacau dalam Bersatu sebab mahu menyertai UMNO.
Ia juga bertujuan melenturkan sokongan kuat kepada Hamzah yang masih kekal dalam parti pimpinan Muhyiddin itu walaupun Hamzah sudah dipecat.
Apapun bukan kata pemimpin pembangkang, pemimpin kerajaan termasuklah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pun pernah menjadi mangsa fitnah polik dengan bermacam-macam tuduhan.
Bagaimanapun kelompok yang melakukan perbuatan berkenaan perlu faham menggunakan fitnah politik sebagai senjata adalah kerja sia-sia. Zaman sekarang tak sampai 10 saat orang boleh semak dalam internet, Chat GPT sama ada dakwaan itu betul atau tidak.
Apabila ia sah fitnah, pihak yang terlibat tidak mendapat apa-apa faedah sebaliknya ia akan menjadi ‘senjata makan tuan’ dan menanggung dosa (itupun kalau mereka tahu dosa pahala). Oleh itu hentilah berpolitik seperti itu. Kalau nak lawan, lawan secara matang dan bijak, bukan melalui fitnah kerana lambat laun orang akan tahu kebenarannya.
Mereka yang menggunakan fitnah sebagai senjata untuk menjatuhkan lawan politik sebenarnya tidak ada keyakinan diri. Mungkin melalui klip video fitnah seperti serangan kepada Ahmad Samsuri, mereka yang menghasilkan bahan itu akan dibayar mahal tetapi itulah adalah wang haram.
Atas sebab itulah Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan kempen internet selamat yang antara lain untuk memastikan internet dan media sosial tidak disalah gunakan untuk tujuan tidak baik termasuklah ‘menyerang’ahli-ahli politik melalui tohmahan di platform berkenaan.
Semoga mereka yang melakukan perbuatan itu memahami bahawa rakyat sekarang sudah bijak. Mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan taktik politik songsang seumpama itu. Ini bukan tahun 90-an, sekarang zaman segala maklumat dapat diperolehi sekelip mata.
Sepatutnya ketika bulan Ramadan ini apabila syaitan-syaitan dibelenggu tidaklah ada fitnah politik seperti itu tetapi rupanya masih ada yang sukarela mahu buat kerja iblis…bertaubatlah dan politiklah cara berhemah bukan tabur fitnah.


