Pelakon wanita dan suami didakwa menipu tanah kurnia Selangor RM1.5 juta

SEORANG lelaki berusia 56 tahun membuat laporan polis di Negeri Sembilan pada Januari lalu mendakwa kerugian RM1.5 juta selepas diperdaya seorang pelakon wanita dan suaminya.

Difahamkan, penipuan berkenaan membabitkan urusan penjualan tanah lot kurnia di Selangor yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, laporan dibuat lelaki itu pada 7 Januari lalu.

“Pelakon itu bersama suami adalah suspek dalam satu kes yang disiasat berkenaan urusan penjualan tanah kurniaan Negeri Selangor yang tidak wujud membabitkan kerugian RM1.5 juta,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.

Menurut Azahar, polis masih menjalankan siasatan berhubung kes itu dan beberapa tindakan awal sudah diambil memandangkan suspek kini dipercayai tidak berada di Semenanjung.

“Maklumat yang diperoleh setakat ini mendapati suspek dan suami berada di Sarawak. Mereka sudah didaftarkan sebagai orang dikehendaki dan senarai pemantauan khas (SPK) Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan kesan dan tangkap,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang usahawan produk kecantikan mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang pelakon wanita bersama suaminya membabitkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

Pendedahan itu dibuat menerusi hantaran di aplikasi Threads, mendakwa aktres yang sering menghiasi drama di kaca TV kini sedang ‘bersembunyi’ selepas didakwa menipu wang mangsa.

Menurut mangsa yang menggunakan nama akaun Threads, kakbeyna_official, dia kerugian sebanyak RM300,000, namun mendakwa terdapat mangsa lain yang mengalami kerugian jauh lebih besar sehingga mencecah jutaan ringgit.

Ekoran pendedahan itu, rata-rata netizen mula ‘memetik’ beberapa nama pelakon wanita yang sudah lama menyepi daripada industri seni.

Difahamkan, beberapa laporan polis sudah dibuat oleh mangsa dan wanita itu turut memuat naik gambar tangkap layar kiriman mesej dari mangsa lain dan tertera MyKad pelakon itu dan lelaki yang didakwa sebagai suaminya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img