SEBANYAK RM15.5 bilion wang dan aset diperoleh semula oleh pasukan khas pelbagai agensi dalam tempoh tiga tahun bermula 2023.
Pasukan khas pelbagai agensi itu membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah wang dan aset yang berjaya diperoleh itu turut mengalami peningkatan mendadak berbanding tahun sebelumnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi contoh, pada 2018, sebanyak RM37 juta wang dan aset diperoleh manakala tahun 2019 mencatatkan sebanyak RM1.2 bilion.
“(RM15.5 bilion) ini menyebabkan indeks persepsi rasuah kita meningkat.
“Langkah-langkah akan terus diambil melalui perkongsian maklumat dan kerjasama rapi di antara badan-badan penguatkuasan berkenaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Anwar, antara kes berprofil tinggi berkait rasuah dan salah guna kuasa yang diambil tindakan termasuklah pertuduhan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri pada Disember tahun lalu.
Selain itu katanya, empat pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga didakwa berhubung tuduhan salah guna kedudukan dan pecah amanah pada Januari lalu.
“Terkini, siasatan dan tangkapan terhadap Ketua Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar pada Januari 2026.
“Ini menunjukkan kesungguhan kita dalam melaksanakan tugas lebih nyata dan ketara dalam tatakelola Kerajaan MADANI,” katanya.


