EMPAT lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan mencuri tabung sebuah masjid di Seksyen 7, di Shah Alam pada 22 Februari lalu.
Tiga daripada mereka iaitu K Tineshuaran, 26; R Nishanraj, 22, dan SR Danesh, 27, didakwa di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman manakala remaja berusia 17 tahun itu dituduh dalam prosiding tertutup.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan secara bersama melakukan jenayah itu pada 22 Februari, kira-kira jam 4 pagi.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan berulang boleh dikenakan penjara dengan denda atau sebat.
Berikutan pengakuan bersalah tertuduh, Muhammad Safiq menjatuhkan hukuman enam bulan penjara bermula tarikh sabitan iaitu hari ini, serta denda RM4,000 ke atas tiga tertuduh.
Ketiga-tiga tertuduh turut diperintah menjalani hukuman penjara tambahan tiga bulan jika gagal membayar denda ditetapkan.
Bagi pesalah remaja pula, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April ini untuk serahan laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Swinder Singh dan Ashrul Haikal.
Terdahulu, pihak pembelaan memohon penangguhan hukuman dengan alasan ketiga-tiga tertuduh penanggung tunggal keluarga dan pertuduhan itu adalah kesalahan pertama mereka.
Bagaimanapun, Muhammad Syafiq menolak permohonan pihak pembelaan berikutan tiada keperluan khas.


