POLIS menahan empat suspek yang disyaki terbabit dalam kes curi tabung Masjid Kristal Seksyen 7, Shah Alam di sekitar Lembah Klang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi itu dijalankan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D4 dan D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dengan kerjasama Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Sri Muda, Seksyen 25.
“Serbuan dilakukan pada 22 dan 24 Februari lalu antara jam 12.30 tengah malam hingga 3 pagi di beberapa lokasi termasuk sekitar Shah Alam, kawasan berhampiran KLCC, Arte Subang West serta sebuah pangsapuri di Seri Kembangan.
“Hasil operasi, empat lelaki warga tempatan berusia antara 17 hingga 26 tahun ditahan. Siasatan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Turut dirampas sebuah Toyota Avanza, empat telefon bimbit serta wang tunai kira-kira RM200 dipercayai berkaitan kes berkenaan,” katanya.
Menurutnya, semua pengurusan masjid dan surau dinasihati supaya memastikan sistem kamera litar tertutup (CCTV) sentiasa berfungsi dengan baik serta mengosongkan tabung kutipan secara berkala sebagai langkah pencegahan.
“Orang ramai juga diminta segera menyalurkan maklumat mengenai kehadiran individu mencurigakan di kawasan rumah ibadat bagi memastikan keselamatan serta kesuciannya terus terpelihara,” katanya


