UMPSA serah laporan siasatan kandungan 3R kepada KPT Isnin depan

UNIVERSITI Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyiapkan siasatan terhadap penuntut institusi itu yang dikaitkan dengan kandungan kontroversi menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) di media sosial.

Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias berkata, laporan lengkap hasil siasatan itu akan dibawa dan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Isnin ini untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, proses tata tertib dijalankan mengikut Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah) (Tata Tertib Pelajar) 2024.

“Jika sabit kesalahan, penuntut itu boleh dihukum sehingga membawa kepada hukuman dibuang daripada universiti merujuk Kaedah 58.

“UMPSA tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan yang menghasut kebencian mengaitkan 3R sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di Kuantan hari ini.

Yatimah berkata, sebelum ini pihak universiti telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan penglibatan pelajar terbabit.

Menurutnya, kandungan tersebut termasuk gambar yang didakwa menunjukkan tindakan menghina agama Islam sehingga menjadi tular dan mencetuskan reaksi di media sosial.

“UMPSA telah mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan peraturan universiti dan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Perkara ini ditangani melalui saluran yang sewajarnya serta dilaksanakan secara tertib dan profesional,” katanya.

Isu berkenaan sebelum ini mencetuskan perhatian apabila penuntut terbabit dikatakan memijak al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik melampau menerusi media sosial.

Pada 25 Februari lalu, penuntut universiti itu ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di laman sosial.

Semalam, penuntut terbabit telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan berkaitan kes berkenaan, namun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Mahkamah menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img