UNIVERSITI Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sedang menyiasat hantaran tular dalam media sosial didakwa menyentuh isu agama, kaum dan raja (3R) membabitkan seorang graduannya.
Dalam kenyataan universiti itu, UMPSA memaklumkan tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan palsu atau menghasut kebencian.
“Sentimen 3R tidak boleh dipandang remeh dan setiap individu perlu menjaga batasan serta sensitiviti,” menurut universiti itu.
Semalam tular satu hantaran berbaur 3R membabitkan seorang individu bukan beragama Islam yang memuat naik gambar memijak kitab suci Al-Quran.
Menurut kenyataan UMPSA, siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelajar yang didapati bersalah.
Katanya, tindakan itu diambil mengikut kesalahan tata tertib di bawah Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah) (Tata Tertib Pelajar) 2024.
UMPSA turut mengingatkan seluruh warganya supaya sentiasa mengutamakan sikap hormat-menghormati dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.
“Warga UMPSA diingatkan agar tidak menyebarkan kandungan menyentuh isu 3R di media sosial yang boleh menggugat keamanan negara,” katanya.


