SEORANG pemandu rentung selepas kenderaan dipandunya terbakar dalam kemalangan di Kilometer 284.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Simpang Pulai petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.33 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai bergegas ke lokasi sejauh empat kilometer.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, terdapat sebuah kenderaan terbabas melanggar sebatang pokok dan terbakar 80 peratus.
“Kemalangan membabitkan seorang pemandu yang belum dapat dikenal pasti identitinya, mangsa maut terbakar di tempat duduk kenderaan tersebut,” katanya.
Sabarodzi berkata, kerja-kerja pemadaman telah selesai sepenuhnya namun menunggu pihak polis bagi pengurusan mayat.


