PENGORBANAN seorang abang berusia 13 tahun yang sentiasa menjaga adik perempuannya, seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) autisme, mengundang sebak apabila kedua-duanya ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di Taman Ria 11 di Tawau, pagi tadi.
Ibu saudara mangsa, Noreen Malvine, 37, berkata Muhammad Nor Fazryn Norman dan adiknya, Nurailin Nathania, 10, dipercayai gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap di bilik kedua rumah teres dua tingkat itu yang dipasang jeriji.
Menurutnya, kedua-dua beradik itu sangat rapat dan Muhammad Nor Fazryn sentiasa mengurus serta menjaga adiknya, termasuk ketika tidur.
“Ke mana-mana sahaja, dia (Muhammad Nor Fazryn) yang urus Nurailin dan mereka memang sentiasa bersama. Ketika tidur pun dia yang jaga, mereka satu bilik tetapi kedua-duanya tidak sempat menyelamatkan diri.
“Muhammad Nor Fazryn abang yang bijak, pelindung dan sentiasa mengutamakan adik-adiknya, terutama Nurailin,” katanya kepada Bernama.
Noreen berkata, ibu mangsa, Nor Fazrina Edayu Faisal, cuba menyelamatkan kedua-dua anaknya, namun terpaksa menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap bilik di tingkat dua bersama tiga lagi anaknya selepas bumbung rumah runtuh.
Akibat kejadian itu, Nor Fazrina Edayu mengalami kecederaan dan retak tulang belakang, manakala seorang lagi anaknya mengalami asma akibat terhidu asap tebal.
Noreen berkata, beliau kemudian membawa adik iparnya bersama tiga anaknya ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut, sementara ahli keluarga lain mencari kedua-dua mangsa sebelum dimaklumkan mengenai penemuan mayat mereka.
Menurutnya, Nor Fazrina Edayu kini dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital, namun tidak dapat ke unit forensik untuk melihat jenazah kedua-dua anaknya berikutan kecederaan pada kaki yang menyukarkannya bergerak.
Bagaimanapun, wanita itu menyuarakan hasrat untuk melihat jenazah anaknya menerusi panggilan video.
Suami Nor Fazrina Edayu yang juga adik kepada Noreen kini dalam perjalanan pulang ke Tawau dari tempat kerjanya di Kota Kinabalu.
Dalam pada itu, Noreen berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin dilaporkan berkata, enam mangsa terbabit dalam kejadian itu, dengan empat daripadanya berjaya menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba menemukan dua beradik berkenaan dalam keadaan rentung di sebuah bilik di tingkat atas kediaman itu.





