SITUASI yang semakin tegang di Timur Tengah berikutan peperangan yang tercetus hasil serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas kedaulatan Iran meletakkan Kementerian Luar (Wisma Putra) tiada pilihan – selain memindahkan rakyat Malaysia dari negara terlibat.
Sehubungan itu dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan mereka sedang bekerjasama dengan perwakilan diplomatik Malaysia, kerajaan di Timur Tengah serta syarikat penerbangan untuk memindahkan rakyat Malaysia yang terkandas berikutan penggantungan penerbangan dan penutupan ruang udara di rantau berkenaan.
Usaha pemindahan itu kata Wisma Putra akan turut melibatkan rakyat Malaysia yang ingin kembali ke tanah air dengan menggunakan pangkalan data rakyat Malaysia yang berdaftar.
“Perwakilan Diplomatik Malaysia di negara-negara terjejas telah berhubung dengan rakyat Malaysia sejak peringkat awal konflik bagi menyalurkan bantuan konsular serta mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk tujuan perancangan kontingensi.
“Rakyat Malaysia digesa untuk segera mendaftar dan mengemaskini maklumat perhubungan masing-masing dengan Kedutaan Besar Malaysia atau Perwakilan Malaysia yang terdekat, atau melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my, bagi memudahkan penyelarasan pemindahan berkenaan,” kata Kementerian itu.
Kementerian Luar memberitahu mereka akan memastikan usaha pemindahan yang penting itu dilaksanakan dengan jayanya, dengan sokongan semua pihak berkaitan, demi kepentingan rakyat Malaysia.
Lanjutan itu Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia di negara yang terjejas supaya meningkatkan tahap kewaspadaan, mengelakkan kawasan aktiviti ketenteraan dan perhimpunan awam serta mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Dalam nasihat perjalanan yang dikemas kini, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas akibat konflik semasa, termasuk mereka yang berhasrat menunaikan umrah atau ziarah.
Wisma Putra berkata pihaknya memandang serius peningkatan ketegangan konflik di Timur Tengah.
“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan kami. Nasihat ini akan terus berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak. Kami merayu agar semua pihak memahami termasuk agensi pelancongan,” kata Kementerian Luar.


