TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak industri menawarkan gaji premium kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan gaji minimum RM2,500 kepada mereka yang menamatkan kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), melebihi kadar gaji minimum semasa.
Katanya, kadar kebolehpasaran graduan TVET di seluruh negara turut meningkat kepada 98.7 peratus pada akhir Mei lepas berbanding 95.1 peratus sebelum ini.
“Ini merupakan pencapaian yang kita syukuri dan sebagaimana yang sering saya sebutkan, untuk memperolehi kejayaan itu sukar tetapi untuk mempertahankannya lebih sukar. Tugas dan tanggungjawab kita bukan sahaja untuk mempertahankan kejayaan itu malah terus mempertingkatkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari TVET di Putrajaya yang dirasmikan Perdana Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Zahid juga memaklumkan sebanyak 270 institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) mencatat kadar kebolehpasaran graduan kira-kira 99.5 peratus.
Katanya, pencapaian membanggakan itu membuktikan bahawa institusi TVET MARA berada di garisan paling hadapan dalam menjayakan agenda TVET negara yang kini memasuki fasa TVET 2.0.
“Saya juga sangat menghargai kerana pihak swasta telah berada di garisan paling hadapan untuk turut mendokong TVET di seluruh negara dengan menawarkan bukan saja modul baharu malah penyediaan perkakasan peralatan dan jentera untuk institusi TVET tertentu.
“Mereka menyambut TVET 2.0 ini bukan saja dengan huluran pelbagai sumbangan yang saya sebutkan tadi malah mereka telah menandatangani perjanjian dengan pihak Majlis TVET Negara dan kebanyakan institusi TVET di Malaysia, bahawa semua pelajar TVET akan diambil bekerja oleh industri ini, 100 peratus diserapkan dalam industri,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pelajar daripada maahad tahfiz dan sekolah pondok kini turut diberi peluang mengikuti bidang TVET, termasuk dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa dan kejuruteraan maritim menerusi program yang ditawarkan oleh UniKL.
“Ini akan menaikkan tahap pelajar maahad tahfiz yang selama ini hanya tertumpu kepada bidang syariah dan usuluddin. Insya-Allah kita akan melihat dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun mendatang, selain daripada terus mempertahankan penghafazan dalam al-Quran, mereka akan menjadi jurutera dan terlibat dalam aeroangkasa,” katanya.
Beliau berkata langkah itu dijangka melahirkan lebih ramai tenaga profesional berkemahiran tinggi dalam kalangan pelajar tahfiz tanpa menjejaskan penguasaan mereka dalam bidang agama.
Ahmad Zahid turut berkata tujuh universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menawarkan laluan pendidikan lebih tinggi kepada pelajar TVET hingga ke peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD).


