POLIS telah merakam keterangan lebih 10 individu setakat ini susulan kematian doktor pelatih wanita di asrama hospital di Kuala Krai, Jumaat lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, keterangan itu diambil sejak hari kejadian sehingga kini.
“Keterangan yang diambil membabitkan rakan mangsa, pensyarah dan keluarga. Kita akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Hasil keterangan yang diambil, macam-macam yang diperoleh termasuk akibat tekanan, namun siasatan lanjut masih dijalankan dan siasatan diambil oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada asnaf dan ibu tunggal oleh Persatuan Kebajikan An’anisa Rahmah Kelantan, di Kota Bharu hari ini, lapor Harian Metro.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, mangsa masih belajar dan menjalani latihan praktikal di hospital berkenaan.
Media semalam melaporkan, Jabatan Kesihatan Kelantan menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat dan meneliti secara holistik kes kematian doktor pelatih wanita di asrama Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.
Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Azman Yacob dilaporkan berkata, jawatankuasa berkenaan akan cuba mengenal pasti punca kejadian termasuk dari aspek tekanan tempat kerja dan faktor penyumbang lain.
Pada Jumaat lalu, mangsa berusia berusia 29 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik asrama hospital pada jam 9.55 pagi.


