KOR Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran hari ini mengumumkan pelancaran gelombang ke-28 Operasi True Promise 4, yang melibatkan penggunaan peluru berpandu generasi baharu bagi menyasarkan beberapa bandar di Israel serta sebuah pangkalan tentera yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat (AS) di rantau tersebut.
Dalam satu kenyataan, IRGC memaklumkan bahawa mereka menggunakan peluru berpandu “Kheibar” yang dilengkapi dengan hulu ledak sangat berat, dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada sistem peluru berpandu generasi baharu Iran.
Serangan itu dilaporkan menyasarkan bandar Bir al-Sabe’ (Beersheba) dan Tel Aviv, selain infrastruktur yang berkaitan dengan Pangkalan Udara Al‑Azraq, yang digambarkan sebagai pangkalan serangan terbesar dan paling penting digunakan oleh pesawat tentera AS dalam operasi ketenteraan terhadap Iran, lapor Almayadeen.
Menurut kenyataan tersebut, skala serta kedalaman serangan ketenteraan Iran terhadap musuhnya dijangka terus meningkat dalam beberapa jam dan hari akan datang, ketika Tehran meneruskan tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai “keganasan” dalam serangan berterusan oleh AS dan Israel.
Sementara itu, pegawai kanan Iran memberi isyarat bahawa negara itu bersedia meneruskan peperangan.
Komander Markas Komando Utama Iran (Khatam al‑Anbiya), Mejar Jeneral Ali Abdollahi Aliabadi, menegaskan Iran akan meneruskan perang sehingga “musuh ditundukkan”.
“Iran akan meneruskan peperangan sehingga kami menundukkan musuh dan membuat mereka menyesal,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa senjata Iran kini jauh lebih maju berbanding sebelum ini, selain mempunyai ketepatan dan fleksibiliti yang tinggi.
Menurut Abdollahi, musuh mendakwa mengetahui jumlah peluru berpandu yang dimiliki Iran, namun beliau mencabar mereka untuk “terus mengiranya di medan perang”.
Beliau juga berkata pihak musuh sering melakukan kesilapan dalam membuat perkiraan terhadap kemampuan Iran.
Abdollahi turut menyatakan bahawa angkatan bersenjata Iran telah memperbaiki kelemahan yang timbul selepas serangan yang berlaku pada Jun lalu, dan kini musuh menyedari kekuatan sebenar Iran.
Beliau menambah bahawa semua cabang angkatan tentera Iran berada di medan dengan semangat tinggi untuk membalas kematian para syahid, termasuk komander yang terbunuh.
Mengulas mengenai perhimpunan rakyat di seluruh Iran yang menyatakan sokongan kepada tentera, Abdollahi berkata ia merupakan satu detik bersejarah yang akan tercatat dalam sejarah negara.
“Musuh yang jahat menyasarkan rakyat Iran yang tidak bersalah di rumah mereka serta pelajar di sekolah. Kami pula akan menyasarkan pusat ketenteraan mereka, peralatan tentera mereka dan segala yang perlu untuk membuat mereka menyesal,” katanya.
IRGC juga mendakwa Israel cuba menggunakan penduduk di kawasan utara dan tengah wilayah Palestin yang diduduki sebagai “perisai manusia” bagi melindungi pasukan tenteranya.


